Rabu, 24 Oktober 2012


Teknik cantuman
Ada beberapa cara atau teknik cantuman atau dalam istilah Inggerisnya dikenali sebagai ’grafting’ yang boleh dilakukan. Contohnya seperti cantuman dekatan atau sanding, cantuman mata tunas, cantuman belahan seperti cantuman baji dan sebagainya.
Namun cantuman baji adalah yang paling mudah dilakukan oleh sesiapa sahaja. Oleh itu saya akan tunjukkan cara mudah melakukan ’kahwin’ pokok bunga kertas menggunakan teknik cantuman baji.
Sebelum itu ikuti beberapa tip dan maklumat mengenai teknik cantuman ini.
§  Hanya pokok daripada jenis sama saja yang dapat dilakukan menggunakan teknik ini. Contohnya hanya pokok bougainvillea boleh dikahwinkan dengan pokok bougainvillea saja.
§  Lakukan cantuman sama ada pada waktu awal pagi sebaiknya sebelum pukul lapan atau waktu petang selepas matahari mulai menurun contohnya seperti jam 6 petang.
§  Jangan lakukan cantuman semasa hari hujan, selepas hujan atau pada hari terlalu panas.
§  Dua cara melakukannya iaitu secara cantuman batang lembut atau cantuman batang keras.
Cara cantuman baji pokok bougainvillea

Pilihan batang yang hendak dicantumkan itu (berbunga cantik) dan ranting pokok yang menanti itu mestilah sama saiznya iaitu sebesar pensil. Potongan mestilah dilakukan menggunakan pisau yang tajam dan bersih. Caranya adalah seperti berikut:

§  Langkah 1: Potong bahagian batang pokok yang hendak dicantum atau ’scion’ berbentuk ’V’. Bahagian akan tumbuh menjadi ranting baru.

§  Langkah 2: Kemudian potong pula bahagian pokok yang menanti atau ’stock’ agar bahagian ’scion’ dapat sesuai untuk dicantum dengannya .
§  Langkah 3: Lakukan cantuman dengan segera agar bahagian kambium tidak kering iaitu faktor utama kepada kegagalan cantuman.
§  Langkah 4: Ikat cantuman menggunakan tali rafia atau pita cantuman secara tidak terlalu ketat dan tidak pula terlalu longgar.
§  Langkah 5: Letakkan di tempat teduh dan elakkan proses pemeluwapan bagi mempercepatkan cantuman iaitu dengan meletakkannya dalam beg plastik (foto 5).
Menerusi kaedah di atas, Insya-Allah cantuman tadi akan berjaya bercantum dalam masa lima atau enam minggu dan bolehlah ditanggalkan tali rafia dan juga beg plastik.
Berikan penjagaan pokok berkenaan seperti biasa seperti siraman air, pembajaan dan dedahan kepada cahaya yang diperlukan. Sebenarnya anda perlu banyak membuat percubaan melakukan proses cantuman ini dan jangan berputus asa sebelum berjaya.
Cara cantuman ini boleh dilakukan untuk pokok buahan dan tanaman hiasan lain seperti pokok bunga raya, pokok bunga tahi ayam atau Lantana dan sebagainya.
Selamat mencuba.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan